Jambatan Darul Hana
menjadi daya tarikan pelancong dan mercu tanda bandar raya Kuching Sarawak.
Jambatan melengkung, 335 meter dirasmikan tepat pukul 11: 11 minit :11 saat malam Sabtu lepas 11 November (11.11) lepas.
Nama jambatan yang menjadi sebahagian daripada Laluan Warisan Halaman ilham Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut diberi nama oleh beliau sebagai Darul Hana.
Maksud Darul Hana ialah “negeri yang aman” atau “rumah yang aman” yang membawa pengertian agar masyarakat terus hidup harmoni.
Menteri Muda Elektrik Luar Bandar, Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, tidak wajar mana-mana pihak mengkritik secara negatif pembinaan serta penamaan jambatan ikonik Darul Hana berkenaan.
Jambatan dibina daripada besi dan kabel secara bersama oleh PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan Naim Land Sdn Bhd di bawah pelaksanaan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri menjadi mercu tanda bandar raya Kuching sebagai pemangkin semangat keharmonian rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini menyebut berkaitan isu nama jambatan terbabit yang menjadi kritikan khalayak di media sosial.
Abdul Rahman menyifatkan penamaan yang disempurnakan Tun Taib pada Majlis Pelancaran Jambatan berkenaan 11 November lalu di Tebingan Sungai Kuching bertepatan mencerminkan kehidupan masyarakat bandar raya ini yang sinonim dengan hidup aman dan damai.
Jambatan Darul Hana bukan sekadar sebagai tarikan pelancong atau mercu tanda bandar raya Kuching yang meransang ekonomi, bahkan menjadi simbolik menghubungkan masyarakat utara dengan selatan Kuching.
Abdul Rahman yakin jambatan itu akan merangsang ekonomi penduduk di kawasannya dari masa ke masa dengan adanya jambatan itu sebagai tarikan pelancong terkini di bandar raya.
Sebelum ini, pada ucapan aluan sempena perasmian jambatan berkenaan di Tebingan Kuching, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan Tun Taib atas ilhamnya membina jambatan emas tersebut dan memberi namanya Jambatan Darul Hana.
Abang Johari memuji kreativiti Tun Taib yang menyerlah setiap binaan di negeri ini dengan memiliki unsur semula jadi Sarawak dan diperkaya dengan elemen etnik tradisional Sarawak.
Jambatan RM35 juta turut mendapat khidmat rundingan pakar Jerman dan Australia ini ternyata menggabungkan keindahan, keharmonian serta keseimbangan dengan gaya moden dan futuristik.
Laluan Warisan Halaman ilham bagi Jambatan Darul Hana dari kampung seberang mencakupi bangunan DUN Lama, melepasi Taman Botani, Taman Orkid, Astana Negeri, Fort Magherita dan bangunan DUN sebelum melewati jambatan ini untuk ke Tebingan Kuching.
Dari Tebingan Sungai ia melengkapi laluan melewati kawasan Padungan, Mahkamah Lama, Main Bazaar dan kampus baharu Muzium Sarawak.